Tuesday, July 27, 2010

Sudirman - Ayah Dan Ibu *Original Audio @1981 EMI



Assalamualaikum..
Dalam tugasan bagi kelas tutorial Media, Budaya dan Masyarakat, saya telah memilih Lagu Ayah dan Ibu nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad.
Saya memilih lagu ini kerana lagu ini membawa maksud yang sungguh mendalam. Walaupun lirik lagu ini ringkas tetapi bagi saya maksud lagu ini sungguh menyentuh hati para pendengar dan diri saya sendiri. Hal ini kerana lagu ini telah memberi mesej yang sangat bermakna. Di sini, saya akan menyatakan sedikit maksud lagu ini berdasarkan kefahaman saya.
Rangkap pertama:
Rangkap ini memberitahu bahawa tanpa ibu bapa, anak-anak tidak akan wujud di dunia ini. Ibu bapa sanggup berpenat lelah dalam usaha memelihara dan membesarkan anak-anak mereka. Mereka sanggup bekerja siang malam untuk mencari rezeki dan telah banyak berkorban dalam membesarkan anak-anak mereka. Oleh itu, kerana ibu bapa lah anak-anak dapat melihat dunia ciptaan Allah S.W.T. ini.
Rangkap kedua:
Anak-anak merupakan kurniaan Allah kepada setiap ibu bapa. Begitu juga dengan ibu bapa yang merupakan kurniaan daripada Allah S.W.T kepada setiap anak-anak. Anak-anak haruslah bersyukur kerana ibu bapa mereka masih hidup jika dibandingkan di luar sana yang masih terdapat anak-anak yang tidak mempunyai ibu bapa. Maka, setiap anak-anak harus menghormati ibu bapa mereka serta menghargai setiap pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa terhadap mereka.
Rangkap ketiga:
Ibu bapa merupakan wali dan keramat yang sangat berharga bagi setiap anak-anak. Hubungan terebut tidak akan pernah putus sehinggalah ke akhir hayat. Oleh itu, anak-anak perlu menghomati ibu bapa mereka selagi ibu bapa mereka masih hidup. Ibu bapa juga tidak pernah lupa dan jemu dalam memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada anak-anak mereka. Anak-anak haruslah sentiasa mendengar dan mengikut segala tunjuk ajar dan nasihat yang telah diberikan agar hidup mereka akan selamat dan bahagia buat selamanya.

Kesimpulan yang ingin saya nyatakan dalam lagu ini ialah lagu ini telah memberi nasihat dan teguran kepada semua anak-anak agar sentiasa menghormati dan menghargai segala jasa dan usaha yang telah dilakukan oleh ibu bapa dalam membesarkan mereka. Dalam lagu ini juga sedikit sebanyak ada memberi sindiran terutamanya kepada anak-anak yang derhaka dan telah lupa akan ibu bapa mereka apabila mereka telah hidup senang dan mempunyai keluarga sendiri. Oleh itu, HARGAILAH IBU BAPA KITA SELAGI MEREKA MASIH BERNYAWA.

RUJUKAN :
http://www.youtube.com/watch?v=_aUrqCW5-8g&feature=player_embedded

No comments: